Thursday, May 14, 2009

~::*ALkisah AyaM*::~



TOK Ketua berdiri gagah di atas punggur. Dada berbunga-bunga. Senyuman manis-megah tak lekang-lekang. Di depannya berhimpun ribuan pengikut yang setia. Berbondong-bondong mereka memenuhi dataran hijau itu. Mereka bongkar dari segala ceruk isi tanah. Ada yang datang dari banat tebal. Ada yang curi-curi keluar dari reban. Ada yang berkonvoi beramai-ramai dari bandar. Tidak kurang juga yang sekadar singgah justeru menetap di kampung sebelah. Segala macam rupa, besar, gemuk, kurus, comel, tua, muda, berbulu lebat, berbulu awan melarik, berbulu comot, hitam berkilat, yang togel, yang sedang-sedang saja, yang sasa, yang dara, berstatus janda, masih anak-anak mungis, yang warak, yang munafik berkumpul bersama-sama, bersesak-sesak. Perhimpunan itu perhimpunan istimewa.

Ayam jantan penganjur majlis tiba-tiba berkokok. Terdiam sekalian yang hadir. Tok Ketua berdehem. Ternyata dia akan menyampaikan ucapan penggulungan. Dia dengan begitu bergaya mengibaskan kepak keperakannya tiga kali. Para penonton bersorak. Gemuruh. Dialah pemimpin unggul yang tiada tolok banding.

“Wahai sekalian rakyat, teruskanlah sokongan kalian terhadap saya. Hanya saya dan parti ini sahaja yang mampu memakmurkan kehidupan dan memberikan perlindungan berkekalan agar survival bangsa kita lestari di bumi ini. Bersyukurlah terhadap apa yang telah kita peroleh selama ini. Ternyata ini berkat usaha berterusan saya dan parti. Oleh itu, janganlah berpaling tadah menyokong pihak lawan yang bukan tahu apa-apa pun tentang pentadbiran negeri. Mereka itu cuma tahu makan jagung dan kuis tanah pagi petang siang malam cari cacing sahaja. Itu pun nasib baik kalau terjumpa barang seekor.”

Gamat sorakan yang hadir. Seronok gamaknya mendengar Tok Ketua menempelak pihak lawannya.

“Ingatlah rakyat semua akan bahaya daripada musuh kita, si musang berbulu merah yang senantiasa mencari peluang untuk memusnahkan kita. Mereka itu pengganas yang nyata. Mereka sedaya upaya cuba menjajah negeri kita melalui pelbagai cara. Jika bukan melalui bala tentera atau serang hendap atau pakatan rahsia dengan helang durjana, musang-musang itu kini menyelinapi minda anak-anak muda kita dengan menanam kepercayaan dan doktrin kononnya penjajahan dan pengkhianatan mereka itu digerakkan atas nama perjuangan jihad suci. Tolonglah jangan percaya. Itu bukan jihad. Itu pelan jahat, wahai rakyatku. Mereka itu mesti diperangi atau kalian rela terkorban di bumi sendiri. Lantaran itu, teruskan sokongan kepada saya. Teruslah membayar cukai gandum, cukai reban, cukai tanah dan segala cukai yang ditetapkan kerajaan. Janganlah melawan undang-undang negara atau kalian bisa ditahan tanpa sebarang bicara di bawah Akta ASI. Ini bukan kekerasan, inilah demokrasi yang tidak ada di mana-mana lagi!”

Tok Ketua kemudian disambut meriah selaku negarawan agung. Selepas menikamati jamuan ringan dan berborak seketika dengan wakil tertinggi parti, dia pun berangkat pulang.

Sesampai di kediaman rasminya, dia disambut isteri yang tersenyum berseri-seri. Isterinya segera mendapatkan suami tercinta lalu dipandu ke bilik.

“Hati-hati buka zip kostum abang ni. Jangan sampai tercarik bulu macam yang lepas-lepas. Mahal ni abang tempah khas.”

Si isteri penuh teliti menanggalkan kostum ayam itu, lalu disangkutnya di dalam almari sulit di belakang rak buku sementara Tok Ketua susah payah cuba membuang paruh palsu daripada muncungnya, menyerlahkan siung panjangnya yang berkilat-kilat.

p/s : sebagai syabab yang bakal membentuk masa depan,membela Islam! Bukakan minda, berhati-hatilah, jangan mudah tertipu dan jangan sesekali menipu.. (“,)


2 comments:

farhanah on May 19, 2009 at 3:15 AM said...

salam sahabatku serikandi islam...syabas buat anti.teruskan perjuangan demi islam tercinta

farhanah on May 19, 2009 at 3:18 AM said...

salam...rindunya mujahidah ni.semoga terus maju demi islam

Post a Comment