Sunday, July 18, 2010

syukur atau kufur?





Awal kalam bismillahirrahmanirrahim,

Be content with what we have, atau dengan kata mudahnya bersyukurlah!
Jika diperhatikan sekeliling kita, betapa banyak hati-hati yang resah dan gelisah memikirkan apa yang belum mereka punyai dan miliki, memikirkan mengapa mereka berhajatkan sedemikian namun demikian pula yang jadinya..Resah, gelisah, pedih, sesak nafas, semuanya dirasakan, hati benar-benar sakit memikirkan mengapa begini dan tidak begitu?

Firman Allah s.w.t bermaksud :

....sekiranya kamu bersyukur, nescaya Ku tambah nikmat yang ada padamu, tetapi jika kamu kufur sesungguhnya seksaan-Ku amat keras

(surah ibrahim : 7)

Duhai jiwa-jiwa yang telah bercita-citakan syurga Allah malah mengakui sangat mencintai Allah, mengapa dikesali apa yang tidak pernah menjadi milik kita YANG tidak menjadi milik kita? Bersyukurlah dengan apa yang kita ada! Kerana bersyukur itu menunjukkan kita redha padaNya.

Sebagai contoh, analogi yang mudah yang sering berlaku disekeliling kita, seorang perempuan cantik berkata pada dirinya, "mengapa aku ditakdirkan cantik? Jika aku tidak cantik, sudah pasti tidak susah bagiku untuk memelihara hati ini daripada perasaan takabbur dan riak. Sudah pasti aku lebih mudah untuk menutup aurat dan menjadi hamba yang taat..
Seorang perempuan hodoh pula mengatakan pada dirinya, mengapa aku tidak cantik? Jika aku cantik pasti aku akan menggunakan kecantikanku pada jalan yang Allah redhai. Oleh kerana aku tidak cantik, kebaikan apa yang boleh ku lakukan, sedangkan hanya keburukan terlihat padaku.

Seorang yang sakit berkata kepada dirinya, jika aku sihat pasti aku rajin beramal ibadat. Seorang yang sihat pula merasakan, disebabkan dia tidak pernah diuji dengan rasa sakit menyebabkan dirinya jauh dari Allah..

Walhal, betapa tidak bersyukurnya kita bila asyik memikirkan apa yang kita tiada dan tidak pernah menghitung nikmat apa yang telah Allah berikan pada kita. Siapakah kita untuk mempersoalkan apa yang telah Allah tetapkan dan takdirkan kepada kita? Malah janganlah di nilai nikmat itu semata-mata pada kecantikan dan harta benda sahaja. Malah nikmat Allah itu tidak terhitung. Sungguh banyak!

Teringat sebuah kisah yang masyhur, seorang insan mulia yang bernama Urwah bin Zubeir. Suatu hari kakinya disahkan harus di potong dari pangkal paha kerana penyakit yang dihidapinya. Dan disebabkan pada waktu itu peralatan perubatan yang digunakan adalah gergaji, orang ramai berkata padanya: "Bgaimanakah jika kami berikan kepadamu minuman khamar terlebih dahulu? Sebab hanya khamarlah yang dapat menenangkan fikiranmu dari memikirkan rasa sakit. Namun jawabnya : Subhanallah! Apakah aku akan mencampakkan nikmat akal yang telah Allah anugerahkan kepadaku? Tidak! Sekali-kali aku tidak mahu melakukannya. Hebatnya Urwah, disaat khamar diharuskan kepadanya untuk menghilangkan kesakitan (masa tu takde ubat bius lagi) dia tetap memilih untuk taat kepada Allah.

Malah dia mencadangkan, potong saja kakiku ketika aku sedang solat, insyaAllah aku tidak merasakan apa-apa." Lalu mereka bersetuju, maka Urwah terus mengambil wudhu' lalu mendirikan solat. Ketika dia sedang khusyu' mendirikan solat, mereka memotong kakinya dengan cepat dan darah pun bercucuran dengan banyak sehingga Urwah pengsan.

Tahukah apa yang diucapkan insan hebat ini setelah dia sedar?

Sesungguhnya dia berkata :
Ya Allah, bagi-Mu lah segala pujian. sesungguhnya Engkau bila mengambil sesuatu daripada ku, maka sebelumnya Engkau telah banyak memberi kepadaku. Jika Engkau menimpakan penyakit kepadaKu, maka sudah sekian lama kau memberikan kesihatan kepadaku. Jika Engkau mengambil salah seorang dari anak-anakku, maka sesungguhnya Engkau dahulunya telah memberiku empat orang anak. Dan jika Engkau telah memberiku empat anggota tubuh dan sekarang kau hanya mengambil salah satu darinya, maka aku bersabar menerimanya. Bagi-Mu lah segala pujian. Hebatkan insan soleh ini, saat dia kehilangan satu nikmat yang cukup besar itu, disebut-sebutnya nikmat lain, tidak dilihatnya apa yang hilang malah disyukuri apa yang ada.. Subhanallah! Cukup hebat insan yang bertakwa!


Lalu Urwah menambah lagi ucapannya dengan syair :
Demi hidupmu, tidak akan kuhulurkan tapak tanganku kepada keraguan, dan kedua kakiku tidak akan pernah membawaku kepada kekejian. Tidak akan pernah fikiran dan penglihatanku mengarahkan kepada kekejian, dan tidak pula akal dan pendengaranku mengajakku kepadanya, dan aku tahu bahawa tidak ada musibah yang menimpaku melainkan sebelumnya telah ada orang lain yang menerimanya.

Pengajaran yang dapat kita fahami disini sebagai seorang mukmin sejati, bersyukurlah dengan apa yang kita ada dan telah ditakdirkan kepada kita. Ucapkan 'innalillah wainna ilaihi rojiun' setiap kali ditimpa musibah atau perkara-perkara yang kita tidak sukai. Kerana segala apa yang kita miliki di dunia ini bukanlah milik kita malah hanya pinjaman semata-mata yang diberi pinjam kepada kita di dunia yang sementara ini, harta kekayaan, kecantikan, kepandaian, rezeki apa sahaja yang melimpah ruah, semuanya pinjaman, malah tubuh badan kita ini sekalipun, yang kita rasakan milik kita, juga hanyalah pinjaman yang diamanahkan untuk kita menjaganya dengan cara yang diredhai oleh Tuannya, Allah.. erm teringat pula lagu rabbani, semua bukan milik kita..

Ibnu Al-Jauzi menceritakan, " Ada seseorang yang bodoh memiliki seekor keldai, suatu hari keldainya sakit parah sehingga dia bernazar kepada Allah: "Ya Allah jika keldaiku sembuh, maka aku akan berpuasa selama tujuh hari. Maka Allah pun menyembuhkan keldainya itu, lalu pemilik keldai itu melaksanakan nazar dengan baik. Akan tetapi, baru sahaja dia selesai menunaikan nazarnya itu, keldai miliknya mati. Maka kerana amat kesalnya, dia berkata : "Demi Allah, aku tidak akan berpuasa pada bulan Ramadhan esok."

Beginilah jadinya jika seseorang tidak sabar dan tidak redha menerima takdir. Padahal yang rugi diri sendiri.


Firman Allah s.w.t bermaksud :

"Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepi (tidak dengan penuh keyakinan) maka jika memperolehi kebajikan, tetaplah ia dalam keadaan itu, dan jika dia ditimpa oleh sesuatu bencana, berbaliklah dia ke belakang (kembali kufur). Rugilah dia di dunia dan di akhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata."


(surah al-hajj: 11)

Daripada dua kisah ini dapat kita lihat perbezaan seorang yang bersyukur dan beriman dengan mereka yang kufur. Semoga kita tergolong dalam golongan yang bersyukur. Dan dijauhi daripada kekufuran disebabkan tidak bersyukur dengan takdir Tuhan.

Berhati-hatilah wahai sahabatku, kadang-kadang tanpa disedari seorang daie juga tidak terlepas dari penyakit yang berbahaya ini, sebagai contoh, seorang daie mengatakan, jika aku dilahirkan dalam keluarga yang cukup tarbiah tentu aku menjadi lebih baik daripada hari ini. Mengapa kita asyik mengatakan kalau begitu dan begini? Walhal meletakkan perkataan kalau dalam perkara takdir di larang dalam Islam.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

"Jagalah agar kamu selalu dalam keadaan yang bermanfaat bagi dirimu dan mohonlah selalu pertolongan kepada Allah tanpa jemu. Jika engkau ditimpa sesuatu cubaan maka janganlah engkau berkata ; Kalau seandainya aku berbuat begini dan begitu, tentu tidak akn begini jadinya. " tetapi ucapkanlah : " Allah maha kuasa berbuat sekehendaknya." Kerana mengatakan 'kalau' itu memberi peluang kepada syaitan.

Kesimpulannya, bersyukurlah, bersyukurlah, bersyukurlah!!! bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Bersyukurlah dengan rezeki yang Allah berikan kepada kita setelah kita puas berusaha, bersyukurlah dengan sahabat yang Allah anugerahkan kepada kita sekalipun padanya ada kekurangan, bersyukurlah dengan keluarga yang kita miliki, jika sudah berumahtangga, bersyukurlah dengan isteri atau suami yang Allah takdirkan untuk kita sekalipun pada dirinya ada kelemahan, bersyukurlah dengan anak-anak yang Allah anugerahkan sekalipun terkadang ia menguji kesabaranmu dalam mendidiknya, bersyukurlah dengan kesihatan atau kesakitan yang kamu miliki pada hari ini.Bersyukurlah dengan segalanya. Akan tetapi, jangan sengaja tersalah tafsir. Tidak bermakna bila kita bersyukur, kita dilarang sama sekali untuk menjadi lebih baik atau mengubah sesuatu yang tidak baik itu kepada baik. Sebagai contoh, berdasarkan contoh tadi, seorang daie mengatakan jika dia di lahirkan dalam keluarga yang sempurna tarbiahnya , dia pasti jadi lebih baik. Seharusnya si daie itu tidak mengatakan begitu bahkan dialah yang harus membawa keluarganya ke arah lebih baik, cuba mentarbiah ahli keluarganya dengan cara yang penuh hikmah, dan bukannya hanya mengeluh dan mengatakan kalau begitu atau begini. Ini hanya satu contoh, jika nak diletakkan semua contoh situasi di sini pasti takkan habis pada kali ni. So, pandai-pandailah aplikasinya dalam mana-mana situasi yang lain..:) Waallahua'lam.

~::Life 4 Allah::~

Tuesday, July 13, 2010

Isra' mikraj..~


Awal kalam bismillahirrahmanirrahim..

Mungkin agak terlewat untuk membincangkan tentang isra' mikraj untuk post kali ni, tapi tak pe lewat dari sudut tarikh, ibrahnya tetap dapat dipelajari dan dihayati pada bila-bila masa sahaja, memandangkan pengajaran yang terdapat dalam isra' mikraj pada 27 Rejab, "tahun kesedihan" sangat penting dan bermakna untuk dihayati umat Muhammad s.a.w.

**********************************************************************************

Pilu sungguh hati pemudanya. Kehilangan dua cinta yang menjadi tonggak hidup amat perit. Serasa luluh hati menatap wajah bersih Khadijah yang jernih tidak bernyawa. Amat sukar dirinya meredah belantara perjuangan tanpa teman yang solehah ini. Dialah sahabat. Dialah isteri. Dialah ibu kepada semua zuriat. Rawan in perit lantaran sekujur jiwa yang lain turut diambilNya. Bapa saudara yang bernama Abu Talib juga meninggalkannya buat selamanya. dia pedih kerana Abu Talib adalah pembelanya yang setia. Menjadi peneguh kala diri digusar musuh. Paling menghiris, Abu talib pergi tanpa mahu melafaz syahadah yang menjadi bekal tawa diakhirat kelak.

Disisi kaabah, dia menangis hiba. Jurai air mata bukan kerana ralat pada takdir Tuhannya tetapi air matanya ialah air mata fitrah seorang manusia yang lemah. Fitrah pilu kehilangan cinta. Tuhan, kuasaMu mengatasi segalanya. Yang indah. Yang bahagia. Yang luhur. Segalanya milikMU..Hanya Kau pengirim cinta yang kekal. Dia terus teresak sambil hati menangkap munajat pada Tuhan pemilik Kaabah.

Dan sungguhlah pada malam itu, dia tidak perasan ada jiwa malaikat pengutus wahyu memerhati tingkahnya dengan sayu. Ajaib sekali malaikat yang tidak punya nafsu menjadi sedih dengan air mata sucinya sehingga tidak sabar memeluk manusia yang paling agung di bumi dan di langit itu. Lalu memberi salam malaikat bernama Jibril kepadanya dan melafazkan jemputan Al-Khaliq yang bersemayam di Arasy untuk bertamu ke Maqam Agung. Di sisi Jibril, tersedia binatang berwarna putih bergelar Buraq yang melangkah sejauh mata memandang. Maka bermulalah perjalanannya ditemani Buraq dan Jibril dalam keadaan jaga dan nyata.

Isra' itu terganggu dengan suara-suara memanggil namanya Muhammad dari arah kiri dan kanan. Terlihatnya si tua berbongkok tujuh.Dia tidak menghiraukan . Dan di hadapannya, seorang wanita dengan tangan terbuka berisi permata perhiasan cuba menghadang dengan rengek dan tempik tetapi dibalas kosong olehnya. Semua itu tidak dihiraukan apatah lagi untuk bertapak dihatinya. Jibril memaklumkan itulah simbolik syaitan mengumpan kuffar yahudi dan nasrani serta si tua itu adalah simbolik dunia yang menunggu masa untuk rebah. Jibril mengucap bangga bahawa dia (rasulullah) telah melaksanakan yang paling tepat dengan membebaskan diri dan umat akhir zaman daripada tiga fitnah durjana.

Di suatu kawasan yang lapang dan asing, dia melangkah ke dalam sebuah masjid. berkata Jibril bahawa itulah baitul Maqdis, tempat ibadah para nabi terdahulu dan menjadi kiblat yang pertama padanya dan para umatnya di akhir zaman. Kemudian, bersolatlah dia sebagai tetamu yang agung mengimami roh para nabi dan rasul sebelumnya. Lalu dihidangkan Jibril bejana pilihan berisi susu dan arak. Fitrah sucinya mengabil susu sebagai minuman dan tersenyumlah Jibril kerana manusia mulia ini telah menyelelamatkan diri dan umatnya dengan fitrah yang suci berbanding dengan arak yang memabukkan. Lantas, terselamatlah dirinya dan umatnya daripada minuman yang dinamakan najis syaitan itu kecuali bagi mereka yang tidak mengambil pengajaran.

Kemudiaanya, dia dianugerahkan Mikraj untuk bertamu di langit seperti roh para bani Adam. tetapi dia berbeza kerana dirinya dalam keaddaan berjaga dan nyata. Bertemulah dia pada tiap lapisan langit yang dihuni para nabi dan rasul sebelumnya. Di langit pertama bertemu ayahanda nabi Adam a.s. Di langit kedua berjumpa isa bin Maryam dan Yahya bin zakaria. Dan dia berjumpa nabi Yusuf a.s di langit ketiga dan di langit keempat, dia bertentang wajah dengan nabi Idris a.s sebelum bersua mata dengan nabi Harun di langit kelima. Di langit keenam dia bertemu dengan anak angkat Firaun bernama Musa a.s manakala langit ketujuh, saudaranya Ibrahim a.s yang digelar Khalilul rahman sedang bersandar di Baitul Makmur sedang menanti ketibaannya penuh kerinduan.

Perjalanan di setiap lapisan langit menghidangkan panorama asing padanya. Segalanya yang zahir tentang kebaikan dan kebatilan diperjelaskan dengan gerun siksa yang dasyat dan harum kasturi syurga yang abadi. Dia menjadi insaf dengan umatnya. Dia semakin cinta untuk menyelamatkan mereka dari bahana azab dan siksa. Biarlah dirinya rentung dibaham ujian perjuangan tetapi sesekali hatinya tidak sanggup melihat mereka menjunam ke dalam neraka walaupun sekadar di sipi tempias. Dia bercerita tentang semua yang dilihatnya agar mereka bergesa untuk memperbaiki diri dan menjauhi maksiat dan dosa sekembalinya dari isra' dan mikraj namun si kufur lantas mentertawakannya, tinggallah orang-orang yang beriman yang tetao meyakininya dan mengambil pengajaran dari peringatannya.

Roh yang jahat kelihatan durja lagi berbau busuk manakala roh para mukminin berwajah senang dan berbau wangi. Apa yang dilihatnya ialah hidangan daging yang segar yang dimasak tetapi tidak ada orang menjamahnya sebaliknya ramai pula yang berebutkan hidangan daging busuk. Jibril menjelas, Itulah, itulah umatmu yang meninggalkan yang halal dan mengambil yang haram. Kemudian dia terlihat seorang yang perutnya sebesar rumah sambil merintih agar Tuhan tidak mengkiamatkan dunia. Jelas Jibril, itulah manusia yang memakan riba. Ada juga golongan manusia yang mulut serta bibirnya seperti bibir unta kemudian dilebarkan lagi mulut mereka untuk dimasukkan bara api neraka. Bara api keluar semula dari dubur mereka, meraung dan meratap golongan itu tidak tertahan. Nah! Itulah si pemakan harta anak yatim semasa di dunia, balas Jibril. Dia berduka apabila melihat golongan wanita yang digantungkan susunya sambil menangis kesakitan akibat perbuatan zina semasa hidup. Dan golongan yang memakan daging saudaranya sendiri, maka jelas Jibril itulah si pengumpat durjana. Segolongan yang lain pula menggunting lidah mereka tidak henti-henti kerana perbuatan mereka menyebarkan fitnah sewaktu di dunia. Dia semakin lara melihat ramai wanita penghuni neraka keran suka mengumpat, tidak menutup aurat, ingkar pada suami dan memakai bau-bauan yang keterlaluan.

Kemudian dia meneruskan lagi perjalanannya dengan penyaksian simbolik perbuatan-perbuatan umatnya ketika di dunia pula. Kelihatan sebatang kayu ditengah jalan dan setiap yang melaluinya akan tersangkut dan terkoyak kainnya lalu menjawab Jibril bahawa, itu ibarat sikap manusia yang suka berlepak dan membuang masa. Hidup mereka mengacau dan menyamun orang sambil tidak memberi manfaat. Ada golongan yang mengikat kayu dengan ikatan besar sehingga tidak sanggup pula untuk mengangkatnya tetapi pelik kerana dia menambah-nambahkan lagi kayu pikulnya. Jelas Jibril itulah pemimpin masyarakat yang tidak menunaikan amanah tetapi berusaha menambahkan beban amanah kerana gilakan jawatan dan pangkat. Di suatu tempat, terlihat akannya batu-batu kecil tetapi keluar daripadanya lembu besar. Lembu tersebut ingin masuk ke dalam tetapi tidak sanggup lagi. Jibril terus memaklumkan bahawa itu perumpamaan umatnya yang suka bercakap besar tetapi sesal kemudiannya untuk menarik balik semula kata-kata tersebut.

Kemudian lagi, dia tiba di sebuah lembah yang tidak sekali dalam hidupnya merasa tenang dan damai seperti itu. Semerbak wangi melatari fizikal dan batin manusianya. Suara merdu mendayu-mendayu dan membuai jiwa. Ada kauthar . Ada Tasnim. Ada Salsabil. Menerang Jibril akan penghuni lembah itu ialah para mukmin dan mukminah, para muslim dan muslimah. Mereka beriman kepada Allah dan rasulNya, beramal soleh dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu. Mereka mencintai Allah dan Allah mencintai mereka. Dan syurga adalah tempat tinggal golongan yang bersih dan beriman. Dan perjalanannya melalui kawasan yang panas, berbau busuk dan pekik yang menggerunkan. Ia adalah kawah neraka tempat tinggal golongan musyrik, ahli maksiat, orang yang sombong dan tidak percaya kepada hari akhirat, golongan munafik dan kuffar. Hebat tidak terperi siksaan neraka, hanyirnya, busuknya, gelegaknya hingga sebesar zarah andai jatuh ke bumi hancurlah seluruh isinya.

Tibalah dia di Sidratul Muntaha yang tiada manusia walaupun nabi pernah sampai ke sana. Sidrah yang dinaungi sebatang pohon yang keluar dari dasarnya sungai yang tidak berubah rasa dan baunya. Sungai susu, sungai madu, dan sungai arak yang lazat tidak tergambar. Pohon yang besar itu, sehelai daunnya sahaja dapat menaungi sekalian umatnya. Ia dipenuhi Nur Ilahi dan para malaikat. Di sanalah Tuhan berfirman padanya bahawa dia dipilih sebagai kekasih Allah, Muhammad habibu Rahman dan pengutus umat manusia akhir zaman, penyampai khabar gembira dan khabar menakutkan. Tuhan anugerahkan al-Fatihah yang tidak diberikan kepada rasul sebelumnya. Tuhan ganjarkan akhir surah al-Baqarah yang menjadi perbendaharaan bawah Arasy dan kauthar yang mengalir. Juga tujuh saham kesempurnaan khalifah iaitu Islam, hijrah, solat, sedekah, puasa Ramadhan dan amar makruf nahi mungkar. Firman Tuhan : " Engkau Muhammad, pembuka dan penutup."

Dia menerima perintah solat lima puluh waktu sehari semalam. Diterimanya tanpa berat hati tetapi desakan Musa a.s mengulang-ulang ketidakmampuan umatnya membarakan semangatnya berjumpa Tuhan agar dikurangkan jumlah solat. Dia turun naik menebalkan wajah di hadapan Tuhan, menagih simpati buat umat tercinta hingga perasaan malu membekam untuk meminta-minta lagi. Terpatrilah kewajipan solat lima waktu sehari semalam. Dengan solat itu, dapatlah manusia saling berhubung dengan Tuhan agar tidak lari dari peranan hamba dan khalifah. Solatlah yang menjadi teras taqwa dan solat juga menghalang syirik dan maksiat. Ini hadiah besar untuk Muhammad s.a.w. Isra' Mikraj terkandung segala perintah . Di dalamnya ada nikmat dan azab juga teladan buat manusia menjadi insaf. Siapa yang percaya teruslah beriman, yang ingkar akan murtad dalam kegelapan. Dan juga, yang tidak mengambil pengajaran lebih buruk masa hadapannya di akhirat.


www.esastera.com.

~::Life 4 Allah::~

Monday, July 12, 2010

Siapa diri ini..??


Awal kalam, bismillahirrahmanirrahim..

Siapa diri ini??
Hanya insan yang tersangat biasa,
atau lebih tepatnya hanya seorang hamba Allah
yang benar-benar mengharapkan bimbinganNya
dalam setiap langkah kaki ini,

Hebat????
Siapa yang hebat???
Hakikatnya, hanya Allah yang menutup segala aib,
lantas terhijab segala kelemahan,
hingga yang terlihat hanya kelebihan,
walhal hanya disisi Allah segala kemuliaan itu..
kerana Dialah Tuhan Yang Maha Agung

Maha Suci Allah yang Maha Penyayang..
Sungguh aku sangat mengharapkan petunjuk dan bimbinganMu,
Maha suci Tuhanku yang sangat kurindui,
Ku pohon padaMu agar dikurniakan sekeping hati,
yang tulus mencintaiMu,
tidak pernah gelisah atas segala cacian manusia,
sentiasa ikhlas dalam perjuangan,
asal Engkau redha padaku,
tidak penting lagi bagiku pandangan insan..

sungguh, nikmat yang sangat bernilai ialah
nikmat iman dan Islam..
tanda Allah menyayangi hambaNya,
diberiNya kefahaman yang mendalam dalam agama.

Mulialah hidup kerana Islam..
Izzahnya hamba yang tawaddu' bila ikhlas mencintai Allah.,
Baginya, Allahlah yang hebat, Allahlah tempat sandarannya..dunia dan akhirat..

i am nothing without islam

~:: LiFe For ALLaH::~